Guru lulus temu duga pasti dapat kenaikan
KUALA LUMPUR - Seramai 15,000 orang guru yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan telah ditemu duga untuk kenaikan gred DG41 sejak dua tahun lalu diminta bersabar dan menunggu surat tawaran kenaikan itu daripada Kementerian Pelajaran.Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Zakaria Kasa berkata, masalah tersebut berlaku mungkin disebabkan wujudnya faktor-faktor yang menyumbang kepada kelewatan kenaikan gred berkenaan.
"Memang dua tahun itu suatu tempoh yang boleh disifatkan sebagai lama dan tidak berpatutan, namun, ia terpaksa dihadapi oleh guru berkenaan."Mungkin kekurangan kekosongan tempat bagi gred berkenaan menjadi antara punca masalah ini timbul dan apa yang boleh mereka lakukan ialah menunggu sahaja surat tawaran itu tiba," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. Kosmo
TPM : Kemorosotan minat terhadap Sains dan Matematik dikaji
IPOH: Masalah kemerosotan minat pelajar yang mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah turut termasuk dalam kajian semula sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian yang dilakukan secara menyeluruh itu dijangka siap sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan.
“Kajian menyeluruh setiap bidang mata pelajaran akan diambil kira. (Akan kaji) di mana kelemahan dan bagaimana untuk diperkukuhkan (sains dan matematik),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini, semalam.Muhyiddin diminta mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kurangnya minat pelajar untuk mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini dilaporkan berkata, kementerian memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dalam bidang sains dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen.
Muhyiddin berkata, kajian menyeluruh sistem pendidikan itu dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan dalam sistem pendidikan negara.“Itu sebab kita ambil inisiatif untuk mengkaji semula sistem dan pencapaian kita. Kita kena review keseluruhan sistem pendidikan kita…. di mana kita telah berjaya dan di manakah kelemahan kita.“Walaupun ada di beberapa peringkat kita telah mencatat kemajuan yang membanggakan tetapi ada beberapa pihak lain yang anggap kita terkebelakang,” katanya.Beliau berkata, selepas kajian itu dilaksanakan, kerajaan akan dapat mengenal pasti bidang yang perlu diberi lebih tumpuan.“Apabila kajian dibuat oleh pakar nanti mereka akan buat perakuan dan cadangan dan kita akan ambil kira cadangan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment